PETALING JAYA - Sepasang suami isteri rakyat tempatan ditahan polis selepas dipercayai menggodam sistem kod Touch n Go yang dimuat turun daripada laman web  dalam sebuah rumah di Kota Damansara di sini, 22 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata,  pasangan tersebut yang berumur lingkungan 40-an itu ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dalam serbuan jam 9.30 malam.
"Mereka dipercayai memuat turun aplikasi perisian dari internet sebelum memasang di komputer dan kemudian memindah data itu di telefon bagi tujuan penipuan.
"Menerusi aplikasi berkenaan mereka melakukan tambah nilai tanpa kebenaran sehingga had maksimum RM1,500 tanpa kebenaran pihak Touch ‘n Go.
"Ini adalah kes pertama yang berlaku di Petaling Jaya," katanya selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, hari ini.
Zani berkata, siasatan mendapati mereka menggunakan kad itu bagi bayaran tol dan membeli barangan di pasar raya yang membenarkan penggunaan kad Touch ‘n Go.
Hasil pemeriksaan, polis turut merampas 12 keping kad Touch n Go, satu SmartTAG , laptop dan  iPad.
"Mereka kini di reman selama empat hari sehingga 27 Februari dan kes disiasat di bawah  Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997," katanya.
Beliau berkata, jumlah kerugian dialami syarikat Touch n Go akibat penipuan itu dianggarkan bernilai RM20,000.

sumber: sinar harian